Apa itu Perunding Hartanah? Dan bagaimana kerjaya ini boleh berjaya?

Perunding hartanah adalah mereka yang dilantik oleh ejen hartanah untuk menjalankan transaksi jual beli hartanah. Boleh kata macam pembantu ejen la. Bila perunding hartanah jual rumah, komisyen akan dibahagi antara mereka dan agensi.

Orang ramai biasanya tak tahu tentang beza dua ni. Bagi mereka, perunding hartanah sama dengan ejen hartanah. Sebenarnya ada beza.

Artikel ni ditujukan untuk orang awam. Saya guna bahasa yang biasa digunakan. Jadi bila saya guna perkataan ejen hartanah tu, saya maksudkan perunding hartanah sebenarnya.

Macam Mana Buat Duit Dengan Kerja Ni

Kalau nak jadi ejen hartanah ni lah antara soalan yang bermain di fikiran.

1) Melalui Komisyen Jualan / Sewaan

Pendapatan utama kerjaya ejen hartanah ni melalui komisyen jualan. Contoh kata anda berjaya jual satu unit rumah berharga RM500,000.

Komisyen yang diterima pula ialah 3% (ini komisyen standard pasaran di Malaysia) iaitu RM15,000. Daripada RM15,000 ini anda akan berkongsi dengan agensi.

Nisbah perkongsian ini bergantung kepada senioriti. Katakan anda layak terima 70% daripada jumlah komisyen tersebut, pendapatan anda ialah RM10,500.

Sekarang ni, bayangkan anda jual 3 unit rumah berharga RM500,000. Pendapatan anda untuk bulan tersebut ialah RM31,500.

Fuh, lagi tinggi daripada gaji Perdana Menteri tu. Dan 3 unit ni bukan mustahil pun. Tuan puan boleh buat. Ini bukan janji MLM. Bahkan ejen yang berjaya, jual 7-10 unit sebulan.

2) Melalui Referral Fee Peguam

Referral fee peguam ni boleh dikatakan sebagai side-income. Tuan puan refer pembeli kepada peguam yang tuan puan kenal dan mereka akan beri saguhati. Bukanlah setinggi komisyen jualan, tapi boleh la buat lepas duit minyak tu untuk satu kes. Kalau banyak kes bayar pinjaman perumahan pun lepas. Huhu.

Skop Kerja Perunding Hartanah

Kerja perunding hartanah ni ada dua jenis pelanggan: pemilik hartanah dan pembeli hartanah.

Skop kerja dengan pemilik hartanah adalah seperti berikut:

  • Bina jaringan dengan pemilik hartanah untuk dapatkan senarai untuk dijual.

  • Membuat inspection hartanah.

  • Memberi khidmat nasihat kepada pemilik hartanah.

  • Memasarkan hartanah untuk dapatkan pembeli.

  • Memastikan hak pemilik hartanah terjaga.

Skop kerja dengan pembeli hartanah:

  • Bina hubungan baik dengan bakal pembeli.

  • Membuat semakan awal kelayakan pembeli untuk belian hartanah.

  • Bawa bakal pembeli ke unit jualan untuk viewing.

  • Menjalankan rundingan.

  • Menjadi pemudah cara untuk pembeli dapatkan khidmat guaman dan pinjaman.

  • Memastikan hak pembeli hartanah terjaga.

Kelebihan Menjadi Ejen Hartanah

1) Beri Impak Besar

Kerja ejen hartanah ni ada impak yang besar. Keputusan untuk jual atau beli rumah oleh klien tuan puan ni bukan kecil. Tu adalah antara keputusan besar hidup mereka. Menjadi pemudah cara untuk keputusan ni adalah tugas yang murni.

2) Kawal Masa Depan

Dengan menjadi ejen hartanah ni, masa depan tuan puan terletak di tangan tuan puan sendiri. Bukan lagi majikan, bukan lagi boss. Tuan puan 100% bertanggungjawab. Kalau berusaha, berjaya. Kalau malas, gagal.

Ni berbeza kalau ada majikan. Kalau rajin pun, belum tentu terjamin masa depan.

3) Pendapatan Lumayan

Pendapatan ejen hartanah ni lumayan. The sky is the limit orang kata. Kalau fokus betul-betul pak menteri pun boleh cemburu dengan pendapatan tuan puan.

Dalam artikel ni saya ada sediakan satu bahagian tentang cara nak kira komisyen jualan. Boleh rujuk kat situ.

4) Masa Fleksibel

Masa tuan puan lebih fleksibel dengan kerjaya ejen hartanah ni. Tak terikat dengan waktu berkerja. InsyaAllah akan ada lebih waktu untuk keluarga dan anak.

Tapi walaupun fleksibel, tuan puan kena urus masa ni dengan baik. Kalau tak urus tiada jualan la nanti.

5) Modal Minima

Tuan puan boleh rujuk bahagian ‘Modal Permulaan’ untuk ketahui lebih lanjut. Berbanding dengan bisnes lain, kos nak mula bisnes dengan menjadi ejen hartanah ni adalah rendah.

6) Masa Depan Cerah

Hartanah ni akan sentiasa ada permintaan. Dekat Malaysia ni, terutama di Klang valley supply rumah tak banyak. Nampak macam banyak, tapi yang mampu dimiliki tu tak banyak.

Bila permintaan banyak kerjaya ejen hartanah ni pun akan berkembang dengan sendiri.

Selain tu, tuan puan juga boleh pilih untuk ambil lesen penuh. Mungkin satu hari nanti tuan puan boleh miliki agensi hartanah sendiri.

Cabaran Menjadi Ejen Hartanah

1) Rejection

Bukan semuanya indah. Dalam kerjaya ejen hartanah ni tuan puan kena kuat. Akan ada banyak rejection daripada klien dan juga pemilik. Rejection ni pula boleh jadi dalam macam-macam cara:

  • Klien view rumah tak jadi beli

  • Klien window shopping

  • Klien sailang ejen

  • Klien book rumah, tapi pinjaman tak lulus

  • Klien book rumah, tapi pemilik naikkan harga

  • Klien book rumah, pemilik tak jadi jual

Bila terjadi rejection macam ni pasti akan ganggu momentum untuk perunding hartanah baru. Tapi tuan puan kena positif. Mesti kata ‘Next!’ dan teruskan usaha.

2) Ada Naik Turun

Macam apa jua bisnes, kerjaya ejen hartanah ni ada naik turunnya. Ada bulan jualan tuan puan adalah sangat baik, mungkin jual 6 unit. Ada bulan yang biasa, jual 3 unit sahaja. Ada bulan mungkin tiada jualan langsung.

Bila baru bermula lagi la. Tiada jualan tu merupakan satu bebanan yang besar. Saya pun pernah lalu situasi yang sama.

Yang penting dalam kerjaya ni puan kena perisaikan diri tuan puan dari kata-kata monolog negatif terhadap diri sendiri. Mesti teruskan berusaha walaupun tiada jualan. Banyakkan bersabar.

Kalau berusaha pasti akan buat jualan.

3) Sukar Nak Dapatkan Senarai Rumah Untuk Dijual

Ni keluhan yang saya selalu terima daripada ejen hartanah baru. Jujurnya, senarai rumah (listing) ni senang je nak dapat. Tak susah. Tapi nak dapat listing yang berkualiti, yang boleh jual tu sedikit sukar untuk ejen hartanah baru.

Ada cara sebenarnya nak dapatkan listing berkualiti ni. Tapi saya tak kongsi di sini sebab dah masuk topik yang agak advance. Kalau tuan puan masih ada keraguan, boleh hubungi saya.

4) Pengetahuan Dan Pengalaman

Bila mula menjadi ejen hartanah, tuan puan kena cepat-cepat melengkapkan diri tuan puan dengan ilmu. Kalau tak proses adaptasi ke dalam bidang ni akan jadi sukar. Nak jual rumah pertama tuan puan akan jadi susah.

Tuan puan mesti tahu ins & out jual beli rumah. Dari segi prosedur dan perangkap yang ada.

Selain tu, kena juga mahir dalam ilmu pemasaran. Macam mana dan di mana nak pasarkan rumah. Apa medium yang efektif untuk jenis rumah.

Ada juga ilmu yang tuan puan belajar dari pengalaman. Contohnya tentang lokasi dan nilai pasaran rumah sesuatu kawasan.

Pengetahuan ni sukar nak dapat daripada pembacaan. Tapi bila tuan fokus dalam bidang ni, ilmu ni tuan puan akan pick-up dengan cepat.

Syarat Dan Kelayakan

Nak jadi perunding hartanah tiada syarat minimum. Kemahiran yang mesti ada ialah kemahiran IT. Tuan puan juga mesti ada kenderaan sendiri. Dari segi kelayakan, lepasan SPM pun dah layak.

Walaupun begitu tak bermakna apa yang anda belajar atau pengalaman anda sebelum ni tak relevan.

Contohnya jika tuan puan bekas peguam, tuan puan ada kelebihan untuk memahami kontrak perjanjian. Ini satu advantage semasa proses rundingan.

Jurutera boleh menerapkan work ethic nya dalam kerjaya ejen hartanah ni. Bekas jurubank pastinya sudah mahir dengan selok belok hartanah. Ejen insuran pula sudah ada client-base untuk dia pasarkan hartanah.

Apa yang ambe nak tekankan kerjaya ejen hartanah ni kerjaya yang universal. Tak kira latar belakang atau pengalaman, tuan puan boleh berjaya dalam bidang ni. InsyaAllah.

Cara Menjadi Ejen Hartanah

1) Hadir Kursus Perunding Hartanah

Kerjaya ejen hartanah ni ada badan pemantau. Badan pemantau tu ialah Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Hartanah. Semua perunding dan ejen hartanah kena berdaftar dengan LPPEH.

Sebelum memulakan kerjaya, tuan puan mesti daftar dan hadir ke kursus 2 hari perunding hartanah. Nak daftar kursus boleh hubungi Good Institute.

Kursus ni wajib. Antara topik yang tuan puan akan belajar ialah:

  • Pengenalan kepada pasaran hartanah

  • Asas industri hartanah

  • Piawaian Agensi Hartanah Malaysia

  • Praktis agensi hartanah

  • Kemahiran membuat rundingan

  • Asas guaman hartanah

  • Undang-undang berkaitan hartanah

  • Kemahiran IT dalam hartanah

Setelah hadir ke kursus ni, tuan puan akan terima sijil. Salinan sijil ni akan diberi kepada agensi. agensi kemudian akan daftarkan tuan puan ke LPPEH.

2) Daftar Dengan Agensi

Setelah tuan puan hadir ke kursus perunding hartanah tu, tuan puan boleh lah daftar dengan agensi hartanah. Tapi boleh je nak daftar dengan agensi dulu. Kemudian baru pergi kursus.

agensi hartanah ni ada banyak. Yang patut tuan puan sertai ialah agensi yang dapat bagi value added kepada tuan puan. Dari segi sokongan, gerak kerja, career development.

Dalam bahagian seterusnya ambe beri sedikit tips macam mana nak pilih agensi yang baik.

Tips Pilih Agensi Hartanah

Kalau tuan puan ingin jadi ejen hartanah, saya sarankan pilih agensi yang baik. Macam mana nak pilih agensi yang baik ni? Anda kena banyak bertanya. Tanya kenalan ejen hartanah, tanya agensi semasa interview. Ni sedikit tips macam mana nak tahu agensi tu ok atau tak.

  • Latihan: Ada latihan ke diberikan untuk perunding hartanah? Berapa kali sebulan latihan diberikan? Agensi yang baik akan selalu beri latihan kepada perunding hartanah mereka.

  • Bilangan perunding hartanah: Berapa ramai ejen di bawah sesebuah agensi? Semakin ramai perunding hartanah semakin baik. Senang nak kerjasama dan dapatkan listing daripada rakan sejawatan. Bilangan ejen yang ramai juga petanda agensi tersebut lebih berstruktur.

  • Team leader: Tuan puan juga perlu tanya, jika sertai, ada tak team leader yang kawal selia. Seeloknya ada. Team leader ni la yang akan beri panduan kepada tuan puan. Dia akan jadi mentor dan coach.

  • Kerja berpasukan: saya sarankan tuan puan sertai agensi yang buat kerja berpasukan. Ni susah sikit nak tahu. Tuan puan kena buat kaji selidik. Mungkin tanya kenalan. Atau mungkin boleh kaji di media sosial. Kalau nampak selalu ada aktiviti bersama tu petanda agensi yang baik.

  • Semak lesen agensi: Tuan puan boleh semak lesen agensi di laman web LPPEH. Elok buat, tak mahu nanti bila dah join tengok-tengok syarikat broker haram.

Modal Permulaan & Kelengkapan

1) Modal

Untuk menjadi ejen hartanah ni kena ada modal juga. Untuk permulaan kos yang diperlukan adalah untuk hadir ke kursus perunding hartanah. Kursus ni harganya lebih kurang RM600.

Kemudian tuan-puan akan daftar dengan agensi. Biasanya yuran yang dikenakan dalam lingkungan RM500 bergantung kepada agensi.

yuran ni adalah untuk latihan permulaan dan juga kelengkapan seperti business card, banner, t-shirt, baju korporat dan lain-lain.

Tuan puan juga kena ada bajet untuk pemasaran. Untuk memasarkan hartanah ni ada kos. Mudah.my contohnya mengenakan caj RM3 untuk setiap listing yang disenarai.

Mungkin untuk permulaan RM500 memadai untuk bajet pemasaran tuan puan.

Pada masa yang sama, tuan-puan kena ada bajet sara hidup. Bajet sara hidup ni diperlukan untuk untuk 2-3 bulan pertama setelah tuan puan mulakan kerjaya.

Tuan-puan mungkin perlukan masa untuk belajar buat jualan pada bulan pertama.

Jika tuan-puan berjaya menjual pada awal bulan kedua, tempoh sebulan lagi diperlukan untuk kes jualan tuan-puan tu lengkap. Akhir bulan kedua, tuan-puan akan terima komisyen.

Jadi pada pendapat saya, sediakan bajet secukupnya untuk tuan-puan tempuhi tempoh ni.

Secara keseluruhan, saya rasa bajet sekitar RM6,000 adalah selamat. Mahal? Mana ada. Cuba bandingkan kalau buka kedai makan. Huhu.

2) Kelengkapan

Kelengkapan minimum yang tuan-puan mesti ada ialah:

  • Komputer atau laptop

  • Telefon bimbit

  • Kad bisnes

  • Banner

  • Pita ukur

Ni kelengkapan paling asas. Kad bisnes dan banner tu agency akan sediakan dan termasuk dalam kos RM500 semasa mendaftar. Jika tak cukup, kena ambil kira dalam bajet permulaan.

Apa Ilmu Yang Perlu Ada Untuk Jadi Ejen Hartanah Yang Berjaya

Berjaya tu banyak maksud. Untuk permulaan ni tuan-puan kena buat sasaran untuk survive dalam kerjaya ni selama setahun. InsyaAllah, bila tuan-puan berjaya pada tahun pertama, tahun kedua tu mudah.

Untuk pastikan tuan-puan lepasi tahun pertama yang getir ni, ilmu asas yang tuan puan perlu ada ialah:

  • Memahami skop kerja dan apa yang saya panggil sebagai ‘pipeline’ jualan.

  • Mengetahui proses jual beli rumah.

  • Ilmu asas guaman.

  • Penjenamaan diri.

  • Cara mencari listing.

  • Cara buat inspection rumah.

  • Cara berunding dengan pemilik rumah.

  • Medium pengiklanan dan cara nak iklankan rumah.

  • Macam mana nak dapatkan pembeli yang berkualiti.

  • Cara nak buat viewing.

  • Cara nak memudah cara pinjaman pembeli dan perjanjian jual beli rumah.

Agensi dan team leader akan latih tuan puan untuk mahir pengetahuan ni. Di egensi saya latihan tentang topik-topik ni dibuat setiap minggu oleh team leader.

Okay, kalau tuan puan nak dapatkan pengetahuan ni dari ambe pun boleh juga. Hanya perlu melanggan dengan blog ni. Ambe tak charge apa-apa pun. Memang berniat untuk bantu bakal ejen hartanah dalam bidang ni.

Kesimpulan

Ambe harap artikel ini sedikit sebanyak dapat menjadi panduan buat tuan-puan. Kerjaya ni boleh buat sebenarnya. Dengan cara yang betul, insyaAllah akan menjadi punca rezeki yang baik untuk tuan-puan dan keluarga.

Perlukan respon yang pantas? Hubungi saya dengan kadar segera!

+6011-55097220

Encik AhmadFadhil Ismail